suria

MIC Jalin Pakatan Strategik Dengan Parti Luar Negara

KUALA LUMPUR: MIC bercadang menjalin pakatan strategik dengan beberapa parti luar negara termasuk parti Congress dari India ke arah memberi manfaat kepada kaum India di negara ini, kata Penasihat Pemuda MIC S.Vell Paari.

Menurutnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan seorang pemimpin penting parti Congress, V.Narayanasamy, yang merupakan seorang menteri negeri dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.

"Beliau meminta MIC menyediakan cadangan bertulis untuk dibawanya kepada peringkat atasan parti Congress," kata Vell Paari dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, beliau akan mencadangkan kepada MIC supaya mewujudkan pejabat perwakilan MIC di Chennai, Tamil Nadu dan New Delhi. Vell Paari juga berkata beliau akan mengundang ketua pemuda parti Congress, Rahul Gandhi, yang juga anak Sonia Gandhi, Presiden Parti Kongres untuk melawat Malaysia.

Beliau berkata, MIC akan juga menjalin hubungan dengan parti di negara-negara yang mempunyai ramai penduduk berketurunan India selaras dengan hasrat supaya MIC berperanan lebih aktif di peringkat global. - BERNAMA

Artikel Lain