suria

Jepun Salur Bantuan Kewangan Pada Dua NGO

KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun memutuskan untuk menyalur bantuan kewangan kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur di bawah Skim Geran Bantuan bagi Projek Keselamatan Manusia anjurannya.

Pejabat kedutaan Jepun dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, dua NGO itu terdiri daripada Pertubuhan Keluarga Orang-Orang Bermasalah Pembelajaran (Perkobp) dan Alumni Persatuan Dasar Pandang Ke Timur (Aleps).

Kontrak geran antara Kedutaan Jepun dan NGO berkenaan ditandatangani semalam.

"Kerajaan Jepun menyumbang kira-kira USD92,307 (RM300,000) kepada Perkobp di bawah projek pembinaan bangunan khas buat mereka yang menghadapi masalah pembelajaran," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, Perkobp menawarkan bantuan dan latihan kepada keluarga-keluarga yang menjaga kira-kira 50 orang yang menghadapi masalah pembelajaran, dan sumbangan ini akan membantu Perkobp membaiki standard bengkel-bengkel bantuan anjurannya, penjagaan dan persekitaran bagi kumpulan orang kurang upaya itu.

Sementara itu, kira-kira USD6,209 (RM20,180) akan disumbangkan kepada Aleps di bawah "Projek untuk membeli kerusi roda terpakai bagi kanak-kanak".

"Aleps adalah sebuah pertubuhan alumni pelajar universiti-universiti Jepun di bawah Dasar Pandang Ke Timur, yang menyokong program-program pertukaran Malaysia-Jepun. Antara aktiviti Aleps adalah projek mendapatkan kerusi roda terpakai dari Jepun untuk kanak-kanak yang memerlukan, sebagai sebahagian daripada program pertukaran Malaysia-Jepun," katanya.

Menurusi sumbangan ini, Aleps akan dapat mengembangkan projek-projek sedemikian dengan mengimport kira-kira 100 kerusi roda dari Jepun, menurut kenyataan itu.

Sejak 1989 kerajaan Jepun menyalur bantuan bernilai kira-kira RM10 juta kepada NGO dan kerajaan tempatan di Malaysia di bawah Skim Geran Bantuan bagi Projek Keselamatan Manusia sebagai salah satu cara untuk menyumbang kepada panyak projek kecil tapi penting dari segi sosial, di peringkat akar umbi. - BERNAMA

Artikel Lain