suria

Jabatan Agama Islam Negeri Perlu Beri Pendidikan Tentang Hukuman Sebat

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jabatan Agama Islam Negeri perlu memainkan peranan daripada segi memberi pendidikan dan pemahaman berhubung hukuman sebatan yang telah dilaksanakan terhadap tiga pesalah wanita.

Beliau berkata langkah itu penting bagi perkara itu difahami bukan sahaja masyarakat di dalam negara tetapi juga masyarakat antarabangsa agar tidak timbul tanggapan serong tentang apa yang berlaku di negara ini.

"Yang penting sekarang ini, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri mungkin dengan kerjasama kita juga untuk memberi satu pendidikan, dan daripada segi soal pemahaman apakah sebenarnya (hukuman sebatan).

"Kerana ini sudah lama diperuntukkan dalam undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri-negeri, dan ini bukan dalam bidang kuasa Persekutuan, (ia) dalam bidang kuasa negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hukuman sebatan yang dilaksanakan di negara ini telah mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa.

Tiga wanita, berusia antara 18 hingga pertengahan 20-an telah menjalani sebatan mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang kerana melakukan persetubuhan haram sehingga melahirkan anak luar nikah.

Ketiga-tiga wanita itu menerima hukuman atas keterlanjuran mereka apabila menyerah diri kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Muhyiddin berkata terdapat peruntukan di peringkat negeri, iaitu di bawah Mahkamah Syariah untuk menghukum mana-mana umat Islam yang melakukan kesalahan dan ia adalah sah daripada segi undang-undang dan hukum syarak.

Katanya penjelasan perlu dilakukan kerana pelaksanaan hukuman sebat syarie masih baru.

Muhyiddin berkata media turut berperanan membantu memberi penjelasan berhubung pelaksanaan hukuman itu, yang mungkin pada tanggapan masyarakat antarabangsa ia adalah seperti hukuman jenayah, disebat sehingga boleh menyebabkan kematian. Katanya pendekatan yang digunakan oleh Islam adalah lebih kepada mendidik dan menginsafkan mereka yang melakukan kesalahan. "Jadi, berbeza sekali. Sekiranya ada penjelasan sebegitu, maka tidak akan timbul tanggapan bahawa kita membuat sesuatu berbeza, malahan daripada segi hukuman yang dilakukan itu, ia agak jauh ringan. Kalau yang hukum bunuh itu, berbeza sekali," katanya. - BERNAMA