suria

Hakim Dengar Kes Liwat Anwar Kekal

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam permohonannya supaya Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada terus mendengar kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu.

Mohamad Zabidin ketika menolak permohonan Anwar itu memutuskan tidak ada sebab kenapa beliau perlu menarik diri daripada mendengar kes itu dan jika beliau berbuat demikian, bermakna beliau lari daripada tanggungjawabnya sebagai seorang hakim.

"Seseorang hakim yang telah mengangkat sumpah jawatan sudah semestinya tidak boleh mengelak diri daripada menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Dalam keadaan demikian permohonan ini ditolak," katanya.

Rabu lepas, Anwar membuat permohonan agar Mohamad Zabidin menarik diri dengan alasan kononnya hakim itu berat sebelah.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, membuat permohonan itu setelah Mohamad Zabidin menolak permohonan pihak pembelaan berhubung dua artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Anwar, 63, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Dalam keputusannya, Mohamad Zabidin berkata, undang-undang berhubung penarikan diri seseorang hakim daripada mendengar kes yang diamanahkan kepadanya untuk didengar adalah jelas untuk melucutkan kelayakan seorang hakim daripada mendengar kes dan atas alasan berat sebelah, elemen itu mestilah ditunjukkan.

Mohamad Zabidin berkata, dalam melihat sama ada elemen berat sebelah itu wujud, mahkamah melihat kepada tanggapan yang akan diberikan oleh orang lain dalam kes yang dikendalikan.

"Jika orang yang berfikiran waras akan berfikir bahawa dalam keadaan tersebut terdapat kemungkinan sebenar hakim itu akan bertindak berat sebelah, beliau tidak patut mendengar kes itu," katanya.

Sambil merujuk satu kes undang-undang yang diputuskan oleh mahkamah negara ini, beliau berkata, apa yang perlu wujud sebelum seseorang hakim boleh menarik diri daripada tanggungjawabnya mendengar kes yang diamanahkan kepadanya mestilah terdapat fakta yang boleh membuatkan seseorang berfikiran waras akan berfikir hakim itu berat sebelah.

Mohamad Zabidin berkata, dalam kes ini perkara pokok yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada terdapat kesalahan meliwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"Berikutan daripada itu persoalan sekarang ialah sama ada terdapat apa-apa fakta dalam kes ini yang boleh membuat seseorang yang berfikiran waras akan berfikir bahawa terdapat kemungkinan sebenar keputusan berhubung isu sama ada berlaku kejadian liwat antara pemohon (Anwar) dengan pengadu (Mohd Saiful) dalam kes ini akan dibuat bukan berdasarkan keterangan yang akan dikemukakan tetapi berdasarkan pertimbangan lain," katanya.

Beliau berkata, setelah meneliti hujah dan afidavit yang difailkan kedua-dua pihak, beliau tidak nampak bagaimana seseorang yang berfikiran waras akan berfikiran sedemikian.

Berhubung isu lain, Mohamad Zabidin berkata, dakwaan peguam Karpal Singh menuduhnya bercakap tidak benar dan berbohong semasa membuat keputusan menolak permohonan pihak pembelaan berhubung dua artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia, adalah tidak benar sama sekali. - BERNAMA

Artikel Lain