suria

Anggota Polis Nyaris Maut Dilanggar Ketika Bertugas

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera dilanggar oleh sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki ketika membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua mereka di Lebuhraya Persekutuan di sini.

Kejadian kira-kira 1 petang semalam itu berlaku ketika mangsa Lans Koperal Fairus Fadil, 32, bersama rakannya Lans Koperal Zulkharu Mohamad, 40, sedang membuat rondaan di Taman Midah, Cheras dan cuba menahan kereta jenis Proton Satria berwarna hitam yang dinaiki kedua-dua suspek.

Timbalan Ketua Polis Cheras Supt Abd Rahim Hamzah Osman berkata kedua-dua anggota polis itu yang menaiki dua buah motosikal kemudiannya memperkenalkan diri kepada suspek lalu kereta suspek memecut laju melarikan diri ke arah Lebuhraya Persekutuan menghala ke Petaling Jaya.

"Kereta itu berjaya ditahan berhampiran Lebuhraya Persekutuan namun suspek bertindak melanggar mangsa yang berada di atas motosikalnya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan dan patah kaki kiri," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta itu ditahan polis tidak lama kemudian berhampiran lebuhraya itu manakala seorang lagi suspek seorang warga Indonesia masih diburu polis.

Abd Rahim Hamzah berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam kes pecah kereta di sekitar Lembah Klang dan polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah kereta di sekitar Cheras.

Suspek yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes yang sama dan polis masih mengesan rakan-rakan suspek.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang wanita mualaf berusia 42 tahun dan rakannya seorang lelaki mualaf berusia 45 tahun ditahan di sebuah hospital kerajaan pada Rabu lepas kerana cuba menipu seorang wanita.

Beliau berkata kedua-dua suspek itu ditahan ketika berurusan dengan mangsa di hospital tersebut dan hasil pemeriksaan polis menemui dua buah telefon bimbit, dokumen milik mangsa yang pernah ditipu dan sejumlah wang tunai bernilai RM450.

"Modus operandi mereka mensasarkan golongan yang mencari pekerjaan dengan pergi ke taman-taman perumahan mencari pekerja untuk bekerja di kantin milik mereka.

"Selepas menemui mangsa, mereka akan datang semula ke rumah mangsa pada keesokan harinya bagi membawa mangsa ke hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Abd Rahim Hamzah berkata mangsa kemudiannya dikehendaki meninggalkan barang peribadi serta wang tunai kepada suspek ketika melakukan pemeriksaan itu dan suspek kemudiannya bertindak melarikan barangan peribadi milik mangsa.

Katanya, suspek wanita mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala suspek lelaki terbabit mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Berikutan penangkapan itu, beliau berkata polis berjaya menyelesaikan 29 kes melibatkan samun tanpa senjata dan kecurian sekitar ibu negara sejak 2002. - BERNAMA

Artikel Lain