suria

Anggota Imigresen Jatuh Bumbung Cuba tahan Pati

KUALA LUMPUR: Dua anggota Jabatan Imigresen cedera terjatuh dari bumbung ketika cuba menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang mahu melarikan diri dengan meniti titi sebatang kayu daripada bumbung rumah sewa mereka ke rumah lain.

Ketua Unit Tindakan Imigresen Putrajaya Mohd Azmi Mohd Isa berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi ini ketika mereka membuat operasi di Kampung Pasir Pantai, di sini.

Katanya kedua-dua lelaki itu bertindak demikian setelah dua jam duduk di atas bumbung rumah tersebut apabila gagal melarikan diri setelah dikepung.

Mohd Azmi berkata setelah usaha memujuk kedua-dua lelaki itu gagal, dua anggota Imigresen cuba untuk naik ke bumbung tetapi PATI itu cuba melarikan diri dengan meniti titi kayu itu.

"Dua orang pegawai Imigresen cedera setelah jatuh dari bumbung. Bagaimanapun, mereka hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi.

Kedua-dua lelaki itu akhirnya dapat ditangkap bersama tujuh lagi PATI wanita dari Indonesia yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 30an.

Mohd Azmi berkata selain Kampung Pasir Pantai, Imigresen turut membuat operasi di sekitar Bukit Kemuning, Shah Alam kira-kira pukul 3.30 pagi dan menahan 10 warga Indonesia, termasuk lima wanita yang tiada dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua mereka kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 6(3)Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imegresen 1956/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain