suria

Polis Anggap Kes Bunuh Kampung Sadir Selesai

PADAWAN: Polis anggap kes pembunuhan seorang wanita berusia 38 tahun di Kampung Sadir di sini Sabtu lalu dan penemuan mayat seorang lelaki berusia 51 tahun dipercayai mati akibat membunuh diri dekat sebuah pondok di pinggir kampung tersebut pada Selasa sudah selesai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamad berkata, tidak ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi Sabtu itu dan polis kini hanya menunggu laporan bedah siasat daripada pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk kedua-dua mangsa terbabit selain laporan pihak forensik.

"Tiada lagi suspek lain, kita (polis) anggap kes ini sudah selesai kerana tiada lagi siasatan yang perlu dibuat dan kita hanya menunggu laporan bedah siasat dan laporan pihak forensik," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut mangsa Shantiles Simi, penduduk tempatan yang telah berkahwin dengan seorang jurutera warganegara Amerika Syarikat baru beberapa hari sampai dari Amerika Syarikat mati dipercayai ditembak oleh suspek yang dikenali Nakup Nyoan, 51, juga penduduk tempatan di hadapan rumahnya di Kampung Sadir.

Selepas kejadian tersebut suspek yang turut mengenali mangsa telah melarikan diri ke sebuah pondok di pinggir kampung tersebut sebelum ditemui mati pada Selasa dipercayai akibat membunuh diri dengan menembak menggunakan senapang yang sama untuk membunuh mangsa.

Sementara itu, kakak kepada Shantiles yang enggan mendedahkan namanya ketika ditemui Bernama tidak mahu memberi sebarang komen berhubung kejadian itu.

Katanya, suami kepada Shantiles iaitu Victor Dalessio, 50-an, bersama dua lagi anak mangsa berusia 21 dan 19 tahun, hasil perkahwinan pertama Shantiles telahpun balik ke Kuala Lumpur semalam selepas selesai upacara pengkebumian isterinya di tanah perkuburan Kristian di Kampung Sadir di sini.

"Suami mangsa (Dalessio) balik Kuala Lumpur semalam, dia kecewa dengan laporan pihak media dua hari lalu yang mengatakan isterinya adalah bekas kekasih kepada suspek yang membunuh diri itu (Nakub) kerana ini semua tidak tepat," katanya.

Katanya, laporan media tersebut telah memaksa Dalessio untuk segera balik ke Kuala Lumpur sebelum ke Amerika Syarikat untuk mengambil beberapa dokumen penting milik mangsa di sana untuk urusan seterusnya.

"Cerita tersebut yang tidak tepat dan hanya daripada sebelah pihak (laporan media) boleh memberi kesan kepada anak dan suami mangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain