suria

Lelaki Singapura Dihukum Gantung Kerana Edar Dadah

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki rakyat Singapura dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah mengedar dadah, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan itu setelah berpuas hati bahawa Heng Chye Lai, 44, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Heng, seorang penganggur didakwa mengedar 233.2 gram methamphetamine di tangga tingkat empat, Blok Permas Villa, Bandar Baru Permas Jaya, di sini, kira-kira pukul 10.30 malam, 25 Januari 2007.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Heng juga menghadapi tiga pertuduhan lagi kerana memiliki 36.6 gram methamphetamine, 5 gram nimetazepam dan 101.8 gram ketamin, di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama.

Heng disabitkan dan didapati bersalah atas ketiga-tiga tuduhan itu dan dikenakan hukuman lapan tahun penjara dan 10 sebatan atas kesalahan memiliki 36.6 gram methamphetamine, lima tahun penjara bagi kesalahan memiliki lima gram nimetazepam serta enam tahun penjara bagi kesalahan memiliki 101.8 gram ketamin.

Kesemua hukuman itu bermula secara serentak dari tarikh tangkapan pada 25 Januari 2007.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari manakala Heng diwakili peguam Khairul Azwad Sariman. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain