suria

Lebihkan Pembangunan Taman Dari Komersial: Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar memberi lebih tumpuan kepada usaha untuk membangunkan taman-taman berbanding pembangunan bersifat komersial, kata Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, ini adalah sebagai usaha untuk menghijaukan Bandaraya Kuala Lumpur, bukan sahaja untuk manfaat penduduk yang datang untuk beriadah, malah kepada pelancong asing yang datang ke negara ini.

"Kita lebih suka jika pemaju yang datang pada kita, kata nak buat taman atau apa sahaja untuk manfaat penduduk, daripada kata nak buat pembangunan bersifat komersial," katanya selepas merasmikan Taman Tasik Datuk Keramat di sini, hari ini.

Katanya, itu juga merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memperindahkan Kuala Lumpur yang akan lebih dikenali di mata dunia serta setaraf dengan bandar raya negara-negara maju.

Selain itu beliau berkata, Taman Tasik Perdana akan dijadikan sebagai Taman Botanikal bagi tujuan pendidikan dan sebagai usaha menaiktaraf taman rekreasi itu.

Raja Nong Chik berkata, kementerian juga berhasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Taman Bandaraya Tropika Lestari dalam usaha menarik lebih ramai pelancong mengunjungi negara ini.

Taman Tasik Datuk Keramat yang berkeluasan 3.4 hektar dengan 0.76 hektar meliputi tasik buatan merupakan taman tasik kedua yang dinaik taraf oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas Taman Tasik Ampang Hilir pada 5 Januari 2009.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail dalam sidang media sama berkata, projek pembinaan taman yang menelan belanja sebanyak RM6.3 juta itu merupakan kerja menaiktaraf taman sedia ada yang dilakukan atas faktor menampung keperluan penduduk di sekitar yang semakin bertambah.

Selain itu, beliau berharap warga kota bersama-sama memelihara kemudahan yang telah disediakan DBKL dalam usaha mengurangkan kos penyelenggaraan.

"Jangan serah bulat-bulat pada kami (DBKL). Kami buat semua (taman) adalah untuk warga kota, jadi kita sama-sama jaga dan bangunkan taman awam ini untuk kemudahan kita bersama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain