suria

Kerajaan Selesai Isu Pampasan Pembinaan Landasan Berkembar

SEGAMAT: Kerajaan telah menyelesaikan isu bayaran pampasan kepada setinggan serta pemilik tanah yang terlibat dalam pembinaan landasan berkembar Padang Besar-Johor Baharu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Katanya pembayaran akhir kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan landasan berkembar antara Ipoh-Padang Besar dilakukan sebelum Tahun Baru Cina minggu lepas.

Beliau berkata kata sepakat tentang ganti rugi juga dicapai antara pihak berkenaan dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam menyelesaikan soal tersebut.

"Oleh itu soal pampasan sudah tidak timbul lagi kerana kita telah menyelesaikan keseluruhannya sejak dari awal lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.

Ditanya mengenai cadangan pembinaan landasan berkembar dari Gemas-Johor Baharu, Ong berkata pihaknya akan mengumumkan butiran lanjut mengenai pelaksanaan projek tersebut yang telah diberikan kepada sebuah syarikat dari China sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu lawatannya ke China tahun lepas.

Mengenai projek pembinaan landasan berkembar Ipoh-Padang Besar yang diberikan kepada syarikat Gamuda dan MMC serta Seremban-Gemas kepada Ircon, sebuah syarikat milik Indian Railway dari India, katanya projek bernilai berbilion ringgit itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Ong menyatakan rasa puashatinya terhadap kerja-kerja meningkatkan kemudahan asas termasuk kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di stesen-stesen kereta api di negara ini.

"Di Segamat ini juga kita telah menyediakan kemudahan yang sama kerana kita tidak mahu ia menggambarkan kurang baik di kacamata orang luar lebih-lebih lagi rakyat Singapura menggunakan stesen ini," katanya.

Beliau juga berkata kementerian sedang mengkaji pelbagai sudut sama ada mahu menyambung semula perkhidmatan pengangkutan kargo di Segamat Inland Port di Jalan Genuang di sini yang terhenti sejak lebih lima tahun lalu.

"Kita sedang mengkaji pelbagai sudut sebelum mengambil keputusan untuk memulihkan perkhidmatan bagi pengangkutan barangan eksport di pelabuhan kering itu," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain