suria

Kematian Akibat Kebakaran Kurang 100 Orang Setahun

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas dan kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dapat mengekalkan jumlah kematian akibat kebakaran di negara ini kurang daripada 100 orang pada setiap tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, prestasi yang ditunjukkan jabatan berkenaan dalam mengawal kebakaran di negara ini adalah setanding dengan perkhidmatan yang terdapat di negara-negara maju.

"Selama ini kita (Malaysia) tak pernah mengalami bilangan kematian yang melebihi 100 orang setahun oleh kerana kebakaran.

"Bagi tahun 2009, hanya 76 kematian sahaja. Kadar ini adalah satu kematian untuk 300,000 penduduk di seluruh negara, jika dibandingkan dengan negara Jepun di mana satu kematian untuk 65,000 penduduk," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet mengenai pencapaian kementeriannya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi tempoh 2007 hingga 2009 di sini hari ini.

Kong berkata, kini terdapat 250 balai bomba dengan kekuatan anggota 13,000 orang.

Selain mengawal kebakaran, perkhidmatan jabatan itu termasuk mencari dan menyelamatkan mangsa bangunan runtuh, kemalangan jalan raya dan banjir.

Beliau juga berkata, Malaysia kini mempunyai 351 pertubuhan bomba sukarela dengan keahlian melebihi 13,000 anggota.

Sempena musim perayaan Tahun Baru Cina, Kong berkata, "Ops Bersepadu" yang melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 7 hingga 21 Februari dijalankan dengan menempatkan anggota badan beruniform berkenaan di 16 lokasi pintu tol dari Kedah ke Johor.

"Sehingga 16 Februari (semalam), bomba menerima 250 panggilan untuk kes kemalangan jalan raya," katanya. Kong juga berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berjaya memadamkan 99.6 hektar daripada 178.8 hektar tanah yang terbakar di ladang kelapa sawit di Johor terutama di daerah Kota Tinggi.

Katanya, jabatan itu sedang giat berusaha memadamkan kebakaran di tanah seluas 79.2 hektar lagi dan kebakaran itu dijangka dapat dikawal dalam masa terdekat.

"Seramai 136 anggota daripada agensi-agensi yang terlibat menggunakan pelbagai jentera berat termasuk kaedah helikopter "water bombing" untuk memadamkan kebakaran itu," katanya.

Kong menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama pada musim panas bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang.

Katanya, dalam kejadian 4 Februari lepas, tanah ladang kelapa sawit seluas 178.8 hektar itu terbakar akibat pembakaran tidak terkawal bagi tujuan perladangan dan mengakibatkan kebakaran tanah gambut merebak.

Tempat yang terlibat termasuk Kampung Seri Paya dan Tanjung Sedili di Kota Tinggi serta Kampung Baru Punggai dan Teluk Ramunia di Pengerang.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Pengurusan Korporat dan Perhubungan Bomba, Morni Mamat memberitahu Bernama bahawa bagi tempoh 2007 hingga 2009, Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan nilai harta sebanyak RM25.93 bilion.

"Nilai kerugian harta akibat kebakaran adalah berjumlah RM2.97 bilion bagi tempoh sama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain