suria

Bayi Tiga Bulan Antara Sembilan Orang Nyaris Dihempap Rumah Roboh

KUANTAN: Lapan sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia tiga bulan nyaris maut selepas rumah papan mereka di Kampung Bukit Bay Route di sini roboh akibat angin kencang.

Anak sulong keluarga tersebut, Nurul Afiqah Mustafa Kamal, 19, yang berada di rumah ketika kejadian 1.30 petang tadi itu bagaimanapun sempat menyelamatkan nyawa adik bongsunya, Nur Hidayah Alias, 3 bulan.

"Ketika rumah roboh, saya terus peluk Nur Hidayah yang menangis kuat disebabkan terkejut walaupun belakang badan saya terasa sakit kena hempap dengan almari.

"Saya terus menyusup ikut ruang yang ada dan keluar dari runtuhan melalui celah-celah bumbung. Mujur Nur Hidayah tak cedera disebabkan runtuhan itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Katanya, semua ahli keluarganya sempat melarikan diri dengan keluar melalui celahan bumbung.

"Selepas saya tengok semua dapat keluar dari runtuhan, hati terasa lega. Memang angin kuat sebelum rumah roboh, tapi tak sangka pula akan ranap semua sekali seperti ini," katanya.

Sementara itu, ayahnya Alias Awang, 42, yang bekerja di sebuah hotel di sini terus bergegas pulang ke rumah sebaik diberitahu isterinya, Noraini Bidin, 38, berhubung kejadian tersebut.

"Dalam kepala saya hanya fikir keselamatan isteri dan tujuh anak saya," katanya yang lebih 30 tahun tinggal di rumah tersebut.

Alias berkata, beliau bersama isteri dan tujuh anak-anaknya yang berusia tiga bulan hingga 19 tahun itu terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat sementara waktu ini.

Sementara itu, Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Sulaiman Mat Saad ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memberi bantuan segera dari segi keperluan asas seperti makanan dan pakaian serta wang tunai sebanyak RM500 kepada keluarga tersebut.

Bagaimanapun, katanya, bantuan tambahan masih dalam peringkat perbincangan dan biasanya akan diberikan secepat mungkin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain