suria

Warga Emas Ditemui Mati Selepas Tidak Pulang Menoreh

KOTA BHARU: Seorang warga emas yang keluar menoreh getah ditemui meninggal dunia di laluan pulang ke rumahnya di Limau Kasturi, Gua Musang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa, Ismail Che Ya, 64, keluar menoreh getah sendirian kira-kira pukul 3.45 petang semalam.

"Mangsa yang dikatakan kebiasaannya pulang ke rumah sekitar pukul 7 petang bagaimanapun tidak pulang menyebabkan seorang anak perempuannya yang berusia 40 tahun memaklumkan kepada penduduk kampung," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, bimbang dengan kehilangan Ismail, penduduk kampung segera melancarkan gerakan mencari mangsa sebelum menemui mangsa kira-kira pukul 8 malam, terbaring dalam keadaan terlentang di sebuah laluan pulang dari kebun ke rumahnya.

"Ketika ditemui, mangsa yang masih berpakaian lengkap dengan pakaian kerjanya sudah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah bagaimanapun pihaknya akan menjalankan siasatan selanjutnya bagi mengenalpasti punca kematian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain