suria

Profesional Kaum Cina Diminta Pulang Berkhidmat Untuk Sarawak

KUCHING: Golongan profesional kaum Cina yang bekerja di seberang laut perlu kembali bagi membantu memajukan negeri ini terutama apabila Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan menjana peluang yang banyak bagi pekerjaan bergaji tinggi, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan hari ini.

Beliau berkata, profesional berkemahiran tinggi termasuk doktor, peguam dan akauntan memilih untuk bekerja dan hidup di seberang laut kerana memperoleh pendapatan tiga kali ganda berbanding apa yang dapat ditawarkan di negeri ini pada masa ini.

"Pulang dan berkhidmat untuk Sarawak kerana banyak pengalaman pakar diperlukan apabila Score dilaksanakan sepenuhnya dan kita juga dapat bayar dengan lebih baik masa itu," katanya kepada pemberita semasa berkunjung bagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng, di kediamannya di sini.

Dr Chan, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga meminta kaum Cina di negeri ini untuk tampil dan bekerjasama dengan memaklumkan kerajaan mengenai aspirasi mereka dan bukan hanya dengan mengkritik kerajaan.

"Saya hormati kebijaksanaan masyarakat Cina dan saya fikir jika kita mainkan peranan, mereka akan kembali menyokong kita," kata Dr Chan merujuk kepada matlamat SUPP untuk menawan semula lapan kerusi negeri dalam pilihan raya negeri yang dijangka pada Julai tahun depan.

SUPP, komponen parti Barisan Nasional (BN) kedua terbesar di negeri ini hilang lapan daripada 19 kerusi negeri yang diperuntukkan kepada parti itu untuk ditandingi dalam pilihan raya negeri pada Mei 2006. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain