suria

Polis Rampas DVD Haram Bernilai RM10 Juta Di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Polis merampas pelbagai jenis cakera video digital (DVD) cetak rompak dan peralatan menghasilkannya bernilai lebih RM10 juta dalam satu serbuan di kawasan Lebuh Macallum di sini hari ini.

Tujuh lelaki termasuk tiga warga Myanmar yang dipercayai pekerja kepada sindiket berkenaan turut ditahan di sebuah premis yang dijadikan tempat menghasilkan DVD tersebut.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob menyifatkan rampasan tersebut merupakan kejayaan terbesar polis Pulau Pinang setakat ini tahun ini.

Beliau berkata, serbuan ke atas premis yang dijadikan 'kilang' mencetak DVD haram itu dilakukan hasil maklumat orang awam yang diikuti risikan polis sejak tiga hari lepas

"Dalam serbuan ini, polis merampas kira-kira 200,000 keping DVD, 10 mesin penyalin dan satu mesin khas yang dipercayai dibawa masuk dari luar negara.

"Setiap mesin penyalin ini mampu menghasilkan kira-kira 1,000 salinan DVD dalam satu jam manakala mesin khas pula mampu menghasilkan 6,000 keping bagi tempoh yang sama," katanya kepada pemberita di tempat serbuan.

Ayub berkata, DVD tersebut dipercayai untuk edaran di negeri ini, Kedah, Perlis dan Perak yang dilakukan sejak dua bulan lepas.

Katanya, sindiket tersebut juga sentiasa bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain bagi mengelak kegiatan haram mereka di kesan polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain