suria

Pengendali Lebuh Raya Disaran Miliki Ambulans Sendiri

KLANG: Syarikat pengendali lebuh raya bertol di negara ini disaran menyediakan perkhidmatan kecemasan termasuk ambulans bagi memberi pertolongan segera apabila berlaku kemalangan di lebuh raya yang dikendalikan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, langkah sedemikian dapat membantu menyelamatkan nyawa kerana masa bertindak adalah lebih pantas berbanding sekarang yang memerlukan mangsa menunggu ketibaan ambulans dari pertubuhan dan hospital.

"Salah satu punca mangsa kemalangan jalan raya tidak dapat diselamatkan ialah lambat menerima bantuan kecemasan daripada pihak ambulans. Justeru dalam saat-saat begini pengendali lebuh raya bolehlah memainkan peranan mengendalikan ambulans mereka sendiri memberi bantuan awal kepada mangsa di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital terdekat.

"Sebagai organisasi yang berasaskan keuntungan, pengendali lebuh raya bolehlah menunaikan tanggungjawab sosial mereka melalui cara sebegini," katanya kepada pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut seorang penunggang motosikal terbaring di tengah jalan hampir sejam sebelum sebuah ambulans tiba dan membawanya ke hospital, selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Kesas kira-kira pukul 9.30 malam pada Jumaat lepas.

Mangsa, Irwan Mahzan, 35, yang patah bahu kiri akibat kemalangan itu juga dilapor terdedah kepada bahaya dilanggar pengguna lebuh raya lain kerana hanya dihadang sebuah lori kontena dan kereta polis sementara menunggu ketibaan ambulans tersebut.

Mengulas mengenai kelewatan berkenaan, Murugiah yang bertanggungjawab ke atas Biro Pengaduan Awam berkata, 30 minit sebelum kemalangan itu berlaku HTAR telah menerima tujuh panggilan lain juga melibatkan kemalangan di beberapa tempat di Lembah Klang.

"Kebetulan pada waktu kemalangan berlaku hanya dua ambulans yang beroperasi di unit kecemasan HTAR. Disebabkan terdapat tujuh panggilan kecemasan pada waktu itu pihak hospital terpaksa memberikan keutamaan kepada kes-kes kemalangan jalan raya yang lebih teruk," katanya.

Mengenai dakwaan terdapat lima ambulans di pekarangan unit kecemasan HTAR sewaktu kemalangan itu, Murugiah berkata, kesemua ambulans tersebut membawa pesakit dari hospital daerah berdekatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain