PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah 200 nelayan pantai di Permatang Damar Laut di sini yang dikatakan terjejas sumber pendapatan mereka akibat pembinaan Jambatan Pulau Pinang kedua.Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata, sumber perikanan seperti ikan, udang, ketam dan kerang menjadi semakin berkurangan dan hampir pupus sejak dua tahun lepas. "Dalam tinjuan yang dibuat, CAP mendapati air laut di kawasan pantai iaitu Zon A yang menjadi tempat nelayan mencari rezeki, dicemari sisa lumpur yang dibuang oleh kapal-kapal pengangkut bahan daripada projek berkenaan."Oleh itu kita harap kerajaan negeri, Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dapat turun padang menyiasat dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.Mohamed Idris berkata, sisa lumpur berkenaan bukan saja mencemarkan air laut dan mengancam hidupan di dalamnya malah turut membunuh kerang di kawasan pantai terbabit."Jika masalah ini berlarutan, nelayan-nelayan di kawasan berkenaan akan terus hilang sumber pendapatan yang sebelum ini memperoleh sebanyak RM150 sehari," katanya.Menurut beliau, CAP kesal kerana masalah itu telah lama dihadapi nelayan di kawasan berkenaan tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil bagi mengatasinya.Beliau mencadangkan supaya syarikat yang mengendalikan projek jambatan berkenaan mengadakan perbincangan dengan nelayan bagi mengatasi masalah itu."CAP kecewa kerana beberapa perjumpaan yang pernah diadakan di Komtar anjuran kerajaan negeri sebelum ini tidak melibatkan nelayan dan menyebabkan isu berkenaan tidak dibincang secara menyeluruh serta gagal mencapai matlamatnya," katanya. - BERNAMA