suria

Lelaki Ditahan Disyaki Edar Dadah

KUALA TERENGGANU: Tidak serik dengan hukuman penjara 10 tahun yang dilaluinya sebelum ini, seorang lelaki sekali lagi ditahan kerana disyaki mengedar dadah, dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Jambu, Dungun malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Dahlan Mohd Noor berkata, lelaki berusia 52 tahun yang sebelum ini menjalani hukuman atas kesalahan yang sama, dibebaskan dari penjara akhir tahun 2008 dan dia juga pernah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Dalam serbuan di rumah lelaki terbabit pada pukul 8.30 malam itu, polis merampas serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 29 gram yang diletakkan dalam tujuh botol dan disembunyikan dalam sebuah beg sandang dalam bilik tidur rumah itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit tinggal seorang diri di rumah itu dan siasatan awal polis mendapati dia memperoleh bekalan dadah dengan membelinya sendiri dari negara jiran dan diedar kepada penagih di kampung berkenaan.

"Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu ditahan reman sehingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain