suria

Kertas Siasatan Berhubung Kes ADUN Sekinchan Hampir Siap

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar kertas siasatan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan yang telah melanggar seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seksyen 7, Shah Alam, 7 Februari lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kertas siasatan itu kini dalam proses terakhir untuk disiapkan sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan di mahkamah.

"Kertas siasatan sudah hampir selesai untuk diberikan kepada DPP. Ada cadangan supaya beliau dituduh dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa ketika memandu kenderaan.

"Kita tunggu hasil laporan dari pihak DPP untuk sebarang tuduhan kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bit Polis Taman Ampang Utama dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.50 malam itu, ADUN Ng Suee Lim yang memandu kereta jenis Nissan X-Trail telah melanggar pelajar itu, Mohamad Bakri Mohd Bazli, 23, yang menunggang motosikal jenis Yamaha SRE.

Kemalangan di Pesiaran Kayangan/Pesiaran Institut di Seksyen 7, Shah Alam itu telah mengakibatkan penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah itu cedera parah di bahagian kepala dan terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Beliau turut meminta saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis kini dalam proses terakhir untuk menyiapkan kertas siasatan membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Lim didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan mengatakan bahawa kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam Shah Alam adalah dibunuh.

"Kita masih menyiasat sebab sukar untuk mengesan saksi...kes masih berjalan...tinggal satu atau dua saksi sahaja lagi."

"Kita berada di penghujung siasatan...tinggal beberapa rakaman percakapan kemudian lanjutkan kepada pertuduhan kelak," katanya.

Disember tahun lepas, polis menerima aduan berhubung kenyataan Lim pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam yang dianggap berunsur hasutan.

Beliau berkata, aduan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu Khalid berkata, bit polis yang ditubuhkan itu diharap mampu merapatkan hubungan di antara polis dan masyarakat Korea di kawasan berkenaan selain memerangi dan mengurangkan jenayah.

"Ini juga salah satu cara mereka (masyarakat Korea) menyahut komuniti kepolisian kita," katanya.

Bit polis itu dibina dengan kerjasama polis dan hampir 4,000 masyarakat Korea yang bekerja dan menetap di kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain