suria

Jangan Bayar Upah Semburan Racun Aedes - KP DBKL

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menasihati warga ibu kota supaya tidak terpedaya dengan cara syarikat-syarikat swasta menggunakan nama pihak berkuasa tempatan itu untuk tujuan penyemburan asap penghapus nyamuk.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup sendiri mengakui hakikat bahawa terdapat pihak yang menggunakan nama dewan bandaraya itu untuk tujuan keuntungan dengan meminta bayaran yang tidak munasabah sebelum menyembur asap menghapuskan nyamuk.

"Yang pasti dan yang penting untuk semua warga kota tahu ialah kita tidak pernah mengeluarkan arahan membenarkan pihak swasta untuk meminta bayaran daripada penduduk untuk tujuan menghapuskan nyamuk. Itu adalah kerja haram," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Salleh turut memberitahu, pihak DBKL ada melantik beberapa syarikat swasta bagi membantu pihaknya membasmi penularan nyamuk namun tidak pernah membenarkan pihak tersebut mengutip wang daripada pengguna.

"Sudah tentu kita ada melantik beberapa syarikat untuk membantu, tetapi bukan untuk meminta bayaran tambahan daripada penduduk.

"Kita juga turut menyediakan kad khas kepada syarikat yang dilantik untuk dijadikan sebagai bukti mereka dilantik oleh pihak DBKL," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak yang mengambil kesempatan ke atas situasi yang berlaku ini dan berharap mereka segera menghentikan perbuatan tersebut.

"Kita cuba membantu penduduk untuk membasmi denggi yang boleh meragut nyawa manusia, tambahan pula kes denggi sekarang meningkat secara mendadak," ujarnya.

Sehubungan dengan itu beliau menyarankan penduduk yang pernah ditipu supaya melaporkan perkara itu kepada pihak polis atau terus kepada DBKL untuk tindakan lanjut.

"Kami memandang serius terhadap perkara ini, jika ditangkap tindakan serius akan kita kenakan," tegasnya.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya menyelidik pihak yang datang ke rumah mereka sebelum membuat apa-apa pembayaran.

Sebelum ini, beberapa penduduk di sekitar Wangsa Maju, Setapak dan Cheras pernah mengadu didatangi pihak yang mengakui dilantik pihak DBKL untuk melakukan penyemburan nyamuk dan meminta bayaran sebanyak RM80 ke RM100 untuk proses tersebut.

"Saya agak terkejut apabila dimaklumkan oleh mereka saya perlu membuat pembayaran untuk penyemburan nyamuk. Apabila saya minta bukti, macam-macam alasan diberikan," kata Maimunah Harun, 43, seorang suri rumah.

"Mereka kelihatan begitu yakin dan membuatkan saya mempercayai mereka, dan ketiadaan sebarang maklumat dan resit pembayaran menyebabkan saya menyedari saya ditipu," kata Fazilah Daud, 37, seorang lagi suri rumah yang menetap di Wangsa Maju.

Sementara itu, Salleh turut memberitahu pengawalan pembiakan nyamuk di Kuala Lumpur adalah terkawal ketika ini dengan penyemburan berterusan oleh pihak DBKL.

Menurutnya, kawasan yang diberi penumpuan adalah sekitar Setapak, Wangsa Maju dan Cheras.

"Kita turut menjalankan lawatan secara mengejut dari rumah ke rumah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memeriksa keadaan rumah dan jika didapati terdapat pembiakkan nyamuk kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun," katanya.

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain