suria

Agenda Jahat Lembaga Disiplin PKR - Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendakwa wujudnya konspirasi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melihat beliau 'ditendang' keluar daripada parti itu.

Malah beliau begitu yakin terdapat agenda jahat yang dirancang terhadapnya apabila Lembaga Disiplin PKR menetapkan lusa untuk perbicaraan kesnya - sewaktu beliau berada di Korea untuk menyertai Forum Kepimpinan Antarabangsa atas tiket parti.

"Saya yakin ada 'firaun-firaun kecil' yang sangat gembira untuk melihat saya ditendang keluar daripada PKR.

"Saya rasa ada niat jahat, saya cukup yakin mereka ada niat jahat di kalangan firaun-firaun kecil ini," katanya pada sidang media di sini semalam.

Lembaga Disiplin PKR akan bersidang lusa ini dengan tarikh alternatifnya pada 23 Februari.

Bagaimanapun Zulkifli bersama 11 lagi Ahli Parlimen Pembangkang lain akan berada di Korea Selatan sehingga 25 Februari ini.

"Saya agak hairan mengapa mereka memilih tarikh-tarikh tersebut sedangkan PKR mengetahui bahawa saya akan berada di Korea dalam tempoh tersebut menghadiri program bersama beberapa Ahli Parlimen lain.

"Saya berharap ia tidak bertujuan untuk menghalang saya daripada menghadiri prosiding di hadapan Lembaga Disiplin tersebut," katanya.

Zulkifli dihadapkan kepada lembaga disiplin parti itu kerana tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya bersedia untuk berhadapan dengan Lembaga Disiplin PKR untuk mempertahankan prinsip dan pegangan saya dalam isu kalimah Allah ini," katanya.

Selain itu Zulkifli turut mempertikaikan kewibawaan Lembaga Disiplin PKR yang seolah-olah telah menjatuhkan hukuman terhadapnya sebelum beliau sempat membuat pembelaan.

Malah beliau juga menyifatkan prosiding yang dijadualkan oleh lembaga disiplin itu sekadar 'drama politik' sedangkan keputusan yang bakal beliau terima sudah dipersiapkan.

"Ini adalah kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh YB (Yang Berhormat) Azmin Ali (Naib Presiden), YB Tian Chua (Pengarah Strategi) dan Datuk Zaid Ibrahim (Ahli Biro Politik) dan lain-lain pimpinan PKR jelas telah menghukum saya sebelum prosiding bermula dengan mendesak supaya saya dipecat dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah melabel saya sebagai pelampau.

"Jadi bagaimana lembaga disiplin yang duduk di bawah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) boleh diharap berlaku adil dan saksama kepada saya dalam keadaan kepimpinan parti yang akan membuat keputusan sudahpun menghukum saya dan bertindak menjadi penyiasat, pendakwa, hakim serta penghukum.

"Atau apakah prosiding Lembaga Disiplin ini sekadar satu 'drama politik' semata-mata untuk menunjukkan kononnya saya sudah diberi peluang membela diri sedangkan keputusannya sudah pun dipersiapkan," katanya.

Beliau juga mendakwa Lembaga Disiplin PKR mengamalkan sikap 'pilih kasih' kerana tidak mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Zaid yang sebelum ini dilaporkan turut akan disiasat.

"Saya telah dimaklumkan oleh sumber dalaman yang sahih daripada PKR menyatakan tiada notis tunjuk sebab dan prosiding disiplin akan diambil terhadap YB Wee dan Datuk Zaid.

"Menurut maklumat tersebut, sebenarnya PKR tidak pernah berniatpun untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka kerana mereka adalah kroni bagi kepimpinan PKR.

"Oleh itu, bagaimana saya boleh menghormati lembaga disiplin yang ditubuhkan kononnya untuk menyiasat saya sedangkan kroni mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil keputusan keluar daripada PKR, beliau berkata: "Buat masa ini opsyen saya terbuka."

Zulkifli juga dengan tegas menyatakan buat masa ini beliau tidak senang dengan sesetengah kepimpinan dalam PKR namun enggan mendedahkan pemimpin yang dimaksudkan.

Berhubung sama ada beliau menjangkakan akan dipecat selepas 23 Februari depan dengan alasan gagal menghadirkan diri pada prosiding lembaga disiplin, Zulkifli berkata: "Kalau melihat daripada kenyataan beberapa pemimpin sebelum ini, saya nampak keputusan telah dibuat."

Diminta mengulas mengenai kemungkinan beliau kini dibayangi Umno kerana begitu lantang mengkritik kepimpinan partinya, beliau berkata isu yang timbul adalah berkaitan masalah dalaman PKR sendiri.

"Saya rasa ini masalah dalaman parti yang perlu diselesaikan dalam parti, kita perlu jujur dengan diri dan perbetulkan keadaan... masih belum terlambat lagi.

"Kita masih boleh perbetulkan keadaan untuk berhadapan dengan rakyat pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain