suria

Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa Dan Sastera Diwujudkan

KUALA LUMPUR: Satu tabung bagi pembangunan kegiatan bahasa dan sastera akan diwujudkan tidak lama lagi bagi memantapkan lagi proses pelaksanaan dan pemantauan aktiviti berkaitan kelangsungan bahasa dan sastera di negara ini.

Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Hamzah Hamdani berkata rancangan untuk menubuhkan tabung itu merupakan antara resolusi dalam perhimpunan Hari Perjuangan Bangsa yang dihadiri oleh persatuan-persatuan penulis dan kebudayaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

"Pengwujudan tabung itu juga akan menjadi saluran bagi memberi sumbangan dana kepada persatuan serta NGO untuk melaksanakan aktiviti berterusan yang berkaitan langsung dengan bahasa dan sastera," katanya kepada pemberita selepas persidangan itu.

Persidangan tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Wira Kamaruddin Siaraf sebagai mewakili Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Hamzah yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana perhimpunan itu berkata satu jawatankuasa akan dibentuk bulan hadapan bagi merealisasikan penubuhan tabung itu.

Katanya ini termasuk jawatankuasa penilai sumbangan yang bertanggungjawab memberi kata putus terhadap tuntutan para penggiat sastera dalam melaksanakan sesuatu program.

Terdahulu, Kamaruddin dalam ucapan perasmiannya berkata bahasa Melayu harus dijadikan bahasa kesatuan politik, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sains dan teknologi agar bahasa itu dapat memenuhi segala bentuk ilmu secara mutlak.

Beliau berkata bahasa Melayu harus memupuk kebebasan intelektual serta memerdekakan pemikiran rakyat agar berada dalam suasana yang merangsang serta terdorong ke arah pembangunan modal insan yang mempunyai daya fikir berinovatif tinggi serta bersahsiah dan berperibadi mulia.

"Dan apabila rakyat sudah meyakini keupayaan bahasa Melayu sehingga ke tahap tersebut, sudah tentu bahasa Melayu akan membawa satu anjakan paradigma dalam pemikiran bangsanya.

"Kemudian secara tidak langsung memelihara keyakinan tersebut dengan mencipta dan mencetuskan idea-idea baru ke arah mengembangkan serta menyalurkan ilmu melalui ketamadunan negara dan seterusnya dunia," jelas beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain