suria

Restoran Nelayan Bertaraf Antarabangsa Dibina Di Jeti Sungai Cenang

LANGKAWI: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membina sebuah restoran bertaraf antarabangsa di jeti nelayan Sungai Cenang di sini sebagai usaha meningkatkan sumber pendapatan golongan nelayan di kawasan itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom berkata hidangan di restoran yang akan dibina tidak lama lagi itu akan disediakan oleh chef terlatih menggunakan hasil tangkapan nelayan di kawasan berkenaan.

"Kita mahu restoran itu menghidangkan makanan yang bermutu tinggi untuk dinikmati pelancong dari dalam dan luar negara", katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke perkampungan nelayan Sungai Cenang, di sini hari ini.

Najib dalam lawatannya mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM7 juta untuk membina jeti di situ bagi memenuhi keperluan nelayan di kawasan tersebut.

Pada masa ini terdapat seramai 150 nelayan berlesen di kampung yang pernah dilanda tsunami pada tahun 2004 itu.

Mengulas lanjut, Johari berkata restoran adalah antara komponen pembinaan jeti itu selain daripada bangsal pukat, kantin, dewan nelayan dan pasar ikan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan Langkawi (PNKL), Mahadzir Ibrahim yakin pembinaan jeti baru itu akan meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, setelah jeti itu siap kelak nelayan di kawasan tersebut dapat keluar lebih awal untuk mencari rezeki kerana sebelum ini mereka terpaksa menunggu air pasang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain