suria

Penyamun Bukan Sahaja Larikan Wang, Tetapi Juga Nasi Impit

KUANTAN: Empat lelaki bersenjatakan parang bukan hanya melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai kira-kira RM8,000, malah turut mengambil nasi impit milik mangsa mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi ini, kesemua lelaki dipercayai rakyat Indonesia itu memecah masuk sebuah rumah di Lorong Kempadang Makmur di sini dengan memotong gril besi sebelum mengopak pintu gelangsar.

Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit kemudian mengejutkan pasangan suami isteri bersama lima anak mereka yang sedang nyenyak tidur sebelum mengikat pasangan suami isteri berkenaan.

"Suspek kemudian menggeledah rumah itu dan mengambil wang tunai RM500, sebuah komputer riba, tujuh telefon bimbit dan barangan kemas milik isteri mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata tidak cukup dengan itu, penyamun terbabit turut mengambil nasi impit yang disediakan keluarga itu untuk bekalan perjalanan menghantar anak perempuan mereka ke pusat matrikulasi di luar Pahang, hari ini.

"Mangsa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan mendakwa seorang daripada suspek meminta keluarganya bertenang dan mereka tidak mahu mencederakan sesiapa kerana hanya ingin mengambil wang," katanya.

Beliau berkata ikatan pasangan suami isteri itu dibuka oleh anak-anak mereka yang tidak diikat selepas kesemua lelaki terbabit melarikan diri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain