suria

Penduduk Perlu Setuju Pembangunan Semula Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Semua penduduk Kampung Baru perlu bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu bagi membolehkan kerajaan melaksanakan cadangan itu secepat mungkin.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata berdasarkan peruntukan undang-undang, bagi melaksanakan sesuatu projek pembangunan secara komprehensif di sesuatu tempat, kerajaan perlu mendapatkan persetujuan semua penduduk kawasan berkenaan.

"Tapi kalau ada yang masih menahan, kita terpaksa cari kaedah undang-undang dan sebagainya," katanya dalam rancangan bualbicara Soal Jawab yang disiarkan TV3 di sini, semalam.

Beliau berkata kerajaan mungkin mengkaji satu undang-undang mengikut majoriti, iaitu jika 80 peratus penduduk di sesuatu kawasan bersetuju dengan projek pembangunan, maka 20 peratus lagi terpaksa menurut atau akur dengan keputusan membangunkan kawasan itu.

"Kita sedang kaji undang-undang itu bukan hanya untuk pembangunan di Kampung Baru, malah di kawasan lain yang juga tertahan pembangunannya," katanya.

Raja Nong Chik berkata jika cadangan pembangunan semula Kampung Baru itu terlaksana, pemindahan sementara sebahagian penduduknya mungkin akan dilakukan.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berjanji penduduk Kampung Baru tidak akan dipindahkan dan kebajikan mereka akan terpelihara.

Bagaimanapun, mereka mungkin terpaksa dipindahkan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan Kampung Baru dijalankan dan kajian berhubung perkara itu sedang dilakukan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain