suria

Hajat Wanita OKU Lawat Abang Di Penjara Sempena Tahun Baru Cina Tidak Kesampaian

KUANTAN: Hajat seorang wanita kurang upaya (OKU) untuk bertemu abangnya di penjara Penor di sini sempena Tahun Baru Cina tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Km 183.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, mangsa Wong Sin Fah, 35, bersama kakak, Wong Kin Phye, 51, dan abangnya, Wong Meng Choon, 43, sedang dalam perjalanan dari Kajang, Selangor ke penjara tersebut bagi mengikuti program "Jalinan Kasih" sempena sambutan perayaan itu.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Ahmad Johari Shahabudin berkata kereta yang dinaiki tiga beradik itu dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam longkang menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian belakang tercampak ke hadapan sebelum kepalanya terhantuk pada papan pemuka kereta itu.

"Akibat hentakan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian sementara kakak dan abangnya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat.

Sementara itu abang mangsa yang berusia 38 tahun ketika ditemui melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menyambut Tahun Baru Cina bersama adik-beradiknya.

Dia yang sudah enam tahun dipenjarakan atas kesalahan menculik berkata keluarganya tidak pernah gagal daripada mengunjunginya setiap bulan.

"Saya mula berasa tidak sedap hati dan memikirkan sesuatu yang buruk menimpa sebelum diberitahu oleh keluarga rakan saya yang mereka terbabit dalam kemalangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain