suria

Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Kes Bakar Bayi

KOTA BHARU: Polis menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan suspek yang membuang dan membakar bayi di dalam tong sampah di Kuala Krai kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, penubuhan pasukan itu bagi memastikan usaha mengesan suspek dapat dilakukan dengan segera.

"Pasukan ini akan menjalankan siasatan selanjutnya bagi memastikan suspek yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan kejam itu ditangkap seberapa segera.

"Selain itu pihak kita juga sedang giat mengesan ibu kepada bayi lelaki seberat hampir 2 kilogram itu yang dipercayai terlibat menyerahkan bayinya kepada suspek sebelum dibuang dan dibakar di dalam tong sampah," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kelmarin, seorang bayi lelaki ditemui rentung separuh badan di dalam sebuah tong sampah di Jalan Zainal Abidin, Kuala Krai.

Mazlan berkata, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil membantu pihak polis bagi mempercepatkan siasatan.

"Kita memohon kerjasama orang ramai yang ternampak seseorang membawa bungkusan, dalam keadaan mencurigakan sebelum kejadian itu supaya segera menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Krai, Asisten Supritendan Idris Man menerusi talian 09-9666222," katanya.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius kes itu dan turut meminta mana-mana klinik swasta yang mengetahui sebarang maklumat mengenai kes berkenaan supaya menyalurkannya segera kepada polis untuk tindakan.

Katanya, siasatan awal dipercayai bayi itu dibawa oleh suspek dalam keadaan sudah meninggal dunia sebelum dibuang dan dibakar di dalam tong sampah berkenaan.

Sementara itu, bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan, Datuk Zaid Wan Abdullah meminta badan bukan kerajaan (NGO) agar menyediakan kemudahan di seluruh negeri itu untuk menempatkan bayi yang dilahirkan secara haram bagi mengelak daripada berlakunya kejadian pembuangan bayi secara berleluasa.

"Kes pembuangan dan pembunuhan bayi tidak berdosa semakin meruncing," katanya.

Selain itu katanya, pihak berkaitan juga perlu mengambil tindakan segera dengan mewujudkan lebih banyak tempat perlindungan kepada gadis-gadis yang bernasib malang bagi mengelakkan kejadian buang bayi tidak berulang.

Beliau yang kesal terhadap kejadian itu berkata, mereka yang melakukan perbuatan itu tidak mematuhi ajaran agama Islam yang membataskan hubungan antara lelaki dengan wanita sehingga menyebabkan berlakunya kejadian di luar batasan.

"Islam awal-awal lagi meletakkan hubungan lelaki dan perempuan ada batasnya, yang kita panggil aurat," kata Zaid. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain