suria

Kerjasama Kukuh Pastikan Kejayaan Projek Pembangunan Di Tahun Harimau

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berharap kerjasama kukuh dan berterusan terjalin antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri itu sepanjang Tahun Harimau dalam kalendar Cina.

Katanya walaupun Tahun Harimau dianggap sebagai tahun yang mencabar, namun bekerja bersama-sama antara semua pihak adalah satu-satunya cara untuk menghadapi cabaran mendatang.

"Kita telah diberi peruntukan yang banyak oleh kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek pembangunan.

"Oleh itu kita mesti bekerja bersama-sama dan bekerja keras untuk rakyat," katanya kepada pemberita apabila ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Negeri di sini.

Musa juga berkata perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, kebudayaan dan kepercayaan terutama di Sabah, akan memastikan kerjasama lebih kukuh dan kejayaan dicapai dalam rancangan kerajaan negeri ke arah kesejahteraan rakyat.

Mengenai sambutan pada tahun ini, Musa berkata beliau gembira melihat budaya majlis rumah terbuka masih kuat di kalangan rakyat daripada pelbagai peringkat dan sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

"Ini merupakan petanda baik yang kita hidup dalam 'sebuah negara yang aman dan makmur.

"Kita meraikan perayaan yang disambut oleh rakan-rakan kita dalam semangat persahabatan dan muhibah dan ini merupakan satu budaya yang kita harus amalkan," katanya.

Terdahulu, Musa menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Parti Bersatu Sabah.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan menteri-menteri Kabinet dari kerajaan pusat serta negeri turut menghadiri kedua-dua majlis tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain