suria

Rosmah Mahu Kerjasama Bendung Gejala Buang Bayi

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini membayangkan kemungkinan mewujudkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membendung gejala pembuangan bayi yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan pihak berkenaan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang kempen kesedaran dalam menangani masalah ibu yang melahirkan anak luar nikah.

"Insya-Allah, saya rela bekerjasama dengan badan kerajaan serta pihak lain bagi membendung isu pembuangan bayi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran parti Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), juga melahirkan rasa kesal terhadap kes pembuangan bayi terutama kes terbaru di mana mayat seorang bayi lelaki yang hampir rentung dalam sebuah tong sampah ditemui di Kuala Krai, Kelantan, semalam.

"Saya berasa amat dukacita dengan kejadian ini kerana ia perbuatan yang sangat zalim dan berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan wajar bagi membendung keadaan ini supaya tidak lagi berleluasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, akta yang ada perlu diperketatkan supaya kejadian terbabit dapat dielakkan daripada terus berleluasa.

Katanya, ibu bapa yang tidak sanggup atau berupaya menjaga anak mereka dan ibu yang melahirkan anak luar nikah supya menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan. - BERNAMA

Artikel Lain