Peniaga Maut, Tiga Lagi Cedera Parah Dalam Kemalangan - Semasa | mStar

Peniaga Maut, Tiga Lagi Cedera Parah Dalam Kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga kain maut manakala tiga yang lain cedera parah selepas van dengan muatan kain yang dinaiki mereka terbabas ke lorong motosikal di Km 29.9 Lebuh Raya Persekutuan akibat dirempuh sebuah kereta pagi ini.

Dalam insiden pukul 7 pagi yang meragut nyawa Azimah Alih itu, kenderaan Toyota Liteace yang dinaiki mereka telah terbabas hingga melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di lorong motosikal kerana dirempuh sebuah kereta Proton Saga yang hilang kawalan akibat pemanduan laju.

Kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan itu dan Azimah, 47, yang duduk di sebelah tempat pemandu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan perut.

Azimah dari Selayang Baru, Batu Caves dan suaminya yang memandu kenderaan itu serta dua lagi penumpang dikatakan dalam perjalanan untuk berniaga kain di pasar minggu di Taman Medan, Petaling Jaya.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi hari ini berkata, pemandu kereta Proton Saga itu yang bertindak melarikan diri dari tempat kejadian selepas kemalangan, telah ditahan polis. Katanya, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kecuaian menyebabkan kematian.

Mayat mangsa yang tersempit terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Mayat Azimah di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala suami dan dua lagi penumpang yang cedera parah iaitu seorang lelaki serta wanita dirawat di pusat perubatan yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan