suria

Langkawi Perlu Lebih Banyak Promosi

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pihak yang berkenaan memperbanyakkan promosi mengenai Langkawi untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Beliau berkata, iklan mempromosikan Langkawi masih berkurangan dan yakin jika tarikan di pulau lagenda itu diberikan promosi sewajarnya, jumlah pelancong pasti lebih ramai lagi.

"Potensi Langkawi untuk dijadikan destinasi pelancongan kepada Malaysia dibuat sejak saya menjadi Perdana Menteri selepas melihat keindahannya semasa bertugas di Langkawi," katanya pada sidang media selepas melancarkan perkhidmatan feri penumpang "My Ferry 2" di Jeti Kuah di sini hari ini.

Feri tiga tingkat milik JMC Ferry Services Sdn Bhd berharga RM7 juta itu boleh membawa 430 penumpang pada satu-satu masa dan merupakan feri terbesar beroperasi di Langkawi.

Mengenai perangkaan Kementerian Pelancongan bahawa kemasukan pelancong ke Langkawi menurun sejak tiga tahun kebelakangan ini, Dr Mahathir berkata, perkara itu adalah bersifat sementara.

"Kita perlu tahu keperluan pelancong dan pengusaha-pengusaha di Langkawi harus bersiap sedia untuk memenuhi kehendak pengunjung," katanya.

Beliau juga menasihatkan peniaga di Langkawi supaya tidak terlalu mengejar keuntungan lebih dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya kerana ia boleh menyebabkan pelancong tidak akan datang kembali.

Selain itu, beliau gembira kerana sudah ramai pelancong negara Arab berkunjung ke Langkawi dan ramai pengusaha setempat membuka restoran Arab untuk keperluan pelawat negara Timur Tengah. - BERNAMA

Artikel Lain