Kementah Arah Konsortium Siap Kompleks 7 Briged Infantri

JOHOR BAHARU: Kementerian Pertahanan mengarahkan konsortium yang bertanggungjawab dalam pembinaan Kompleks 7 Briged Infantri, Kem Skudai di Gelang Patah menyiapkan projek berkenaan dalam masa 24 bulan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jika tidak, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk melantik kontraktor baru bagi menyiapkan projek sakit itu yang sepatutnya siap pada 2007.

"Jika kontraktor gagal mematuhi syarat dan berdolak-dalih dalam penyiapan saya akan mengambil langkah tertentu supaya Lembaga Tabung Angkatan Tentera melalui anak syarikatnya Perbadanan Perwira Harta Malaysia Bhd dapat menjalankan tanggungjawab memulihkan projek berkenaan dengan tidak melibatkan kos pada kerajaan," katanya.

Jika perkara itu berlaku, projek berkenaan akan diteruskan dengan kaedah "bina, sewa dan alih milik" oleh kontraktor baru melibatkan Koperasi Bekas Tentera Malaysia Negeri Johor, kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Koperasi Bekas Tentera Malaysia Negeri Johor di Simpang Renggam, 71 kilometer dari sini hari ini.

Menurut Laporan Audit Persekutuan 2002, projek yang diluluskan penswastaannya melalui pertukaran tanah oleh kerajaan pada 1996 itu dimulakan kerja fizikalnya oleh konsortium dua syarikat pada Mei 2000.

Bernilai RM256 juta, projek itu dihentikan pada Januari 2003, dengan kemajuan fizikal kerja hanya pada 18.3 peratus. Kelewatan menyiapkan projek itu menimbulkan masalah hakisan dan banjir Kampung Poh Chi Leng dan kawasan Kampung Baru Skudai setiap kali hujan lebat.

Pembinaan kompleks itu adalah bagi menempatkan unit Markas Staff Stesen, Kompeni Kor Perkhidmatan dan Unit Batalion Infantri dari Kem Majidee; Skuadron Semboyan Briged, Workshop Briged dan Markas Rejimen 501 Askar Wataniah dari Kem Tebrau serta Markas 7 Briged dan Unit Batalion Infantri dari Kem Kluang.

Ahmad Zahid berkata pihaknya juga memberi perhatian terhadap Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram yang sudah uzur kemudahannya dan kontraktor baru akan dilantik bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan kemudahan baru bernilai RM20 juta.

Katanya pusat latihan itu bukan sahaja menjadi tempat latihan pelatih tempatan bahkan dari negara asing.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid meminta kesemua 18,000 veteran tentera di negeri ini menyertai Koperasi Bekas Tentera Malaysia Negeri Johor bagi memastikan mereka menikmati faedah hasil penubuhan koperasi itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Klik

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain