suria

Imigresen Negeri Sembilan Tahan 116 Warga Asing

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 116 warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam 'Ops Kutip' di sekitar bandar ini dan Nilai, semalam.

Pengarahnya Pisal Mustafa berkata sebahagian besar warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 68 warga Indonesia dan 13 warga Myanmar dan selebihnya warga India, Kemboja, Pakistan, Vietnam, Nigeria dan Nepal.

"Mereka yang ditahan berumur antara 22 dan 38 tahun. Antara kesalahan ialah tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan Imigresen," katanya di sini hari ini.

Katanya kesemua mereka yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng.

Katanya 'Ops Kutip' dijalankan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti perhentian bas dan teksi serta pusat membeli-belah bertujuan mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin.

"Ini berikutan aduan orang ramai yang tidak selesa ekoran kehadiran warga asing yang terlalu ramai di kawasan tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain