suria

Empat Disyaki Bakar Kereta Wanita Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan peminjam wang haram atau Ah Long kerana disyaki terlibat membakar sebuah kereta milik seorang wanita di Taman Seri Rampai, Setapak, di sini, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, kejadian sehari sebelum Tahun Baru Cina itu adalah suatu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan pihak polis akan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

"Semalam saya dimaklumkan tentang insiden terbaru di Taman Seri Rampai, Setapak yang mana kereta mangsa dibakar manakala suaminya telah pun melarikan diri bersembunyi sejak September tahun lepas.

"Jadi, seperti dulu, kita (Polis) akan terus mencari, siasat dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan ... mereka (Ah Long) semua tahu pendirian saya dalam menangani kes Ah Long," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Laporan akhbar hari ini menyebut bahawa kejadian pukul 1.30 pagi itu disedari oleh pembantu rumah mangsa selepas melihat dua lelaki bermotosikal membaling satu objek ke arah kenderaan majikannya.

Kejadian terbabit dipercayai berkaitan dengan Ah Long kerana mangsa mendakwa suaminya pernah berhutang dengan 30 Ah Long beberapa tahun lalu.

Hishammuddin juga berkata, polis sedang memburu sembilan ketua sindiket Ah Long yang pernah ditahan sebelum ini dan sebilangan mereka dipercayai telah melarikan diri ke negara jiran.

"Saya nak bagi tahu di sini mereka boleh lari, tapi tak boleh sembunyi buat selama-lamanya kerana operasi memburu, menyiasat dan mendakwa mereka adalah berterusan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain