suria

Cubaan Seludup Rokok Bernilai RM260,000 Tumpas

JOHOR BHARU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok bernilai RM260,000 ke negara ini dan menahan dua lelaki warga Indonesia di perairan Pontian dekat sini semalam.

Ketuanya, Supritendan Kalai Chelvan berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota PGM mengesan sebuah bot yang mencurigakan di lokasi 1.85 batu nautika dari Pontian pada jam 9 malam.

"Apabila dihampiri, bot tersebut memecut laju untuk melarikan diri.Bagaimanapun kedua lelaki gagal melarikan diri apabila bot mereka berjaya dipintas 10 minit kemudian," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa 2,610 karton rokok keretek dan rokok putih pelbagai jenama.

"Kedua-dua lelaki dari Tanjung Balai itu disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sejak beberapa bulan lalu dan kini disiasat di bawah Akta Imigresen dan Akta Kastam 1967," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain