suria

Zahrain Hashim Dialu-alu Sertai Komponen BN - Ahmad Zahid

JOHOR BAHARU: Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Hashim dialu-alukan untuk menyertai mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, menyambut baik keputusan Anggota Parlimen Bayan Baru itu untuk meninggalkan PKR dan berharap beliau akan menyertai BN.

"Kita berharap beliau akan dapat tarik rakan-rakannya yang lain yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan pakatan pembangkang di Pulau Pinang untuk keluar daripada parti itu," katanya.

Sekiranya tidak berniat untuk menyertai BN, Zahrain boleh menjadi Anggota Parlimen Bebas yang "mesra BN", kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Koperasi Bekas Tentera Malaysia Negeri Johor di Simpang Renggam, 71 kilometer dari sini hari ini.

Mengenai cadangan kerajaan negeri untuk melantik timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mansor Othman sebagai pengerusi lembaga Pusat Urus Zakat Pulau Pinang, beliau berkata pelantikan itu terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Pulau Pinang (MAIPP).

"Sesiapa yang bukan ahli Majlis Agama Pulau Pinang (Mansor) tidak ada hak untuk menjadi pengerusi pusat zakat itu dan hanya presiden majlis yang boleh menjadi pengerusi seperti kebiasaannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain