suria

Warga Emas Maut Motosikal Dirempuh MPV

TUMPAT: Seorang warga emas maut apabila motosikalnya terperosok ke dalam longkang selepas dirempuh sebuah kenderaan di Kampung Belukar dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Khalid Munap berkata kejadian itu berlaku kira-kira 8 pagi tadi ketika mangsa, Mat Salleh Ibrahim, 60, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pecah Temalang.

"Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dirempuh oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dari arah belakang, yang dipercayai dalam perjalanan dari Pengkalan Kubor ke Kota Baharu.

"Rempuhan itu menyebabkan motosikal mangsa terperosok ke dalam longkang dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tumpat.

Khalid berkata pemandu MPV terbabit telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Tumpat.

Sementara itu anak mangsa, Mohd Nor Faizal, 20, berkata bapanya sebelum kemalangan itu begitu beria-ria mahu menyiapkan kolam ternakan keli bersebelahan rumah mereka.

"Semalam dia memang bekerja keras untuk menyiapkan kolam ternakan keli itu. Tidak pernah dia bersungguh-sungguh seperti itu sebelum ini.

"Tidak sangka pula kelakuan peliknya itu sebagai petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain