suria

Rasuah: SPRM Tidak Akan Dakwa Ketua Menteri Melaka, Menteri Besar Selangor

PUTRAJAYA: Sebanyak lapan kes rasuah berprofil tinggi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, tidak akan dibawa ke mahkamah termasuk yang melibatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata kesemua kes tersebut telahpun selesai disiasat dan telah dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya, bagaimanapun ia diputuskan tiada pendakwaan akan dibuat.

"Keputusan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya dan ia telah dirujuk kepada Panel Penilaian Operasi, kita jelaskan sebab-sebab kenapa kes-kes ini tidak boleh dituduh di mahkamah dan panel seramai tujuh orang ini berpuas hati dengan penerangan itu, sama ada daripada pihak SPRM sendiri ataupun daripada pihak bahagian perundangan dan pendakwaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shukri bagaimanapun berkata, ia tidak bermakna kes-kes tersebut bebas daripada kegiatan rasuah, kerana kekurangan saksi dan bukti juga boleh menyebabkan SPRM gagal membina sebuah kes yang kukuh.

Kes-kes lain yang turut ditutup termasuklah melibatkan bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi, Pulau Pinang Tan Beng Huat, Anggota DUN Batu Tiga, Selangor Rodziah Ismail serta dua anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat yang didakwa cuba merasuah calon Bebas DUN Penanti, Pulau Pinang Aminah Abdullah.

Mohd Shukri berkata: "Bukti yang ada mesti mencapai 90 peratus baru pihak pendakwaan boleh membuat keputusan untuk mendakwa.

"Bukan semua kes-kes yang tidak dituduh ini tak berlaku rasuah, tapi sesetengahnya tak mencapai tahap yang ditetapkan dan banyak kelemahan-kelemahan wujud jadi Timbalan Pendakwaraya membuat keputusan bahawa tak boleh dituduh di mahkamah," katanya.

Mohd Shukri justeru merayu orang ramai dan saksi-saksi yang terlibat agar tampil dan memberikan keterangan yang betul supaya SPRM dapat membina kes yang kukuh.

Beliau berkata siasatan kes-kes tersebut juga boleh dibuka semula sekiranya ada saksi baru yang tampil memberikan keterangan.

Ditanya mengenai kes-kes berprofil tinggi yang lain termasuk yang melibatkan bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Mohd Shukri berkata siasatan telahpun selesai dan telahpun dimajukan kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada ia akan dibawa ke mahkamah.

Mohd Ali sebelum ini disiasat mengenai dakwaan mengamalkan politik wang bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dalam pemilihan parti tahun lalu, manakala Abdul Khalid pula disiasat mengenai penyalahgunaan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban bagi bahagian Parlimen Bandar Tun Razak.

Bagaimanapun dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan untuk penyelenggaraan kereta jenis Lexus nombor pendaftaran WQR779 milik Abdul Khalid masih belum ditentukan sama ada akan didakwa atau tidak, walaupun kertas siasatan telah dimajukan kepada pihak pendakwaan.

Manakala siasatan bagi Sivakumar dibuat atas dakwaan salahguna kuasa apabila menggantung dan melarang Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN, Murugiah disiasat atas tuduhan rasuah dalam pemilihan PPP dan kes rasuah Mohammad Fairus dikaitkan dengan aktiviti kuari haram di negeri itu.

Manakala bagi Tan, beliau didakwa menyalahguna peruntukan untuk pembelian barangan elektrik dan Rodziah didakwa menyeleweng peruntukan kerajaan negeri. -BERNAMA

Artikel Lain