suria

Najib Mahu UiTM Sedia 5,000 Tempat Untuk Pelajar Miskin, Anak Yatim

Najib Tun Razak bersama isteri Rosmah Mansor (kanan) mendengar penerangan Pengarah Urusan TRI plc Berhad, Datuk Hashim Mahfar (tiga kiri) selepas merasmikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Fasa 1 di sini, hari ini. Turut hadir Mohamed Khalid Nordin (dua kiri). Foto THE STAR

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan 5,000 tempat untuk pelajar miskin dan anak yatim bumiputera pada setiap tahun.

Tegas Perdana Menteri, ini bagi mengelakkan mereka tercicir daripada memperoleh peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

"Kita mesti beri peluang kepada mereka yang miskin dan anak yatim memperoleh peluang yang sama.

"Dengan ini dalam empat tahun, 20,000 pelajar miskin, anak yatim, anak pekebun kecil serta anak nelayan mendapat peluang untuk meneruskan pengajian mereka," katanya semasa berucap merasmikan Fasa 1 Kampus UiTM Puncak Alam di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib berkata, UiTM dapat memainkan peranan menyediakan peluang untuk mereka yang kurang bernasib baik dengan membuka kesempatan yang lebih luas tanpa mengira kedudukan sosio ekonomi bagi mencapai matlamat yang amat diharapkan.

Kata beliau, apabila lebih banyak peluang diberikan kepada pelajar Melayu dan bumiputera maka masyarakat yang seimbang dapat dihasilkan.

Beliau berkata, di bawah konsep 1Malaysia, usaha-usaha perlu diteruskan bagi memastikan perseimbangan yang adil dan saksama supaya tidak ada jurang etnik atau mana-mana kaum yang tertinggal serta tercicir.

Dalam pada itu, Najib juga memberitahu akan menunaikan janji yang dibuatnya kepada Yayasan Budiman UiTM pada Malam Simfoni Kasih bulan lepas bahawa kerajaan akan memberi RM1 juta jika yayasan dan alumni UiTM berjaya mengumpul dana RM1 juta. Sehubungan itu, dalam tempoh seminggu dua ini, beliau akan menjemput anggota jawatankuasa yayasan itu untuk menerima sekeping cek bernilai RM1 juta bagi membantu membiayai pengajian pelajar-pelajar miskin di universiti itu.

"Mereka yang telah berjaya, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk ni jangan tambah kereta sahaja, jangan tambah rumah dan jangan tambah penghuni rumah. Tolong tambah dana untuk pelajar miskin," katanya.

Sementara itu mengenai permintaan Sahol supaya kerajaan menyediakan peruntukan bagi membina sebuah Hospital UiTM di kampus berkenaan, Perdana Menteri berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan perkara itu.

"Kita sedar hasrat UiTM mahu melahirkan 2,000 doktor Melayu dalam tempoh lima tahun tetapi saya kena tanya Kementerian Kewangan tengok sama ada ada bajet atau tidak," jelas beliau.

Terdahulu Sahol dalam ucapannya memberitahu, kampus itu mempunyai tanah seluas 40 hektar yang disediakan bagi pembangunan sebuah hospital milik pusat pengajian tinggi itu sendiri.

Artikel Lain