suria

Lim Nafi Dakwaan Tiada Perarakan Maulidur Rasul Tahun Ini

PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menafikan dakwaan kononnya tiada perarakan Maulidur Rasul di negeri ini pada tahun ini, malahan pelbagai program telah diatur selama empat hari berturut-turut mulai 25 Feb sempena sambutan itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenai perkara itu.

"Kami terkejut dengan kenyataan palsu itu dan kerajaan negeri serta Jabatan Agama Islam sebenarnya telah merancang mengenai pelbagai program sempena sambutan ini tiga bulan lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang memetik Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melyau Pulau Pinang Mohd Nor Suhaili Jamali yang mendedahkan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebelum ini diadakan setiap tahun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Abdul Malik Abdul Kassim berkata sambutan Maulidur Rasul akan bermula dengan majlis bacaan yasin dan tahlil di semua masjid di seluruh negeri pada Khamis (25 Feb) malam.

Katanya perarakan Maulidur Rasul pula akan diadakan pada 26 Feb bermula 7 pagi di Padang Kota dan berakhir di Dewan Sri Pinang dan Timbalan Ketua Menteri 1 Mansor Othman dijadual menyertai perarakan itu.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang, pameran ketamadunan Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Bacaan Kitab Sirah Nabi Muhammad s.a.w pada 27 dan 28 Feb di Masjid Negeri, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain