suria

Internet, Kiriman Surat Berkurang Cabaran Kepada Pos Malaysia - Rais

LONDON: Dalam menentukan hala tuju masa depannya, Pos Malaysia perlu menghadapi realiti semakin berkurangnya pengiriman surat menyurat secara biasa yang kini terjadi di merata dunia akibat daripada kemajuan internet.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata cabaran itu perlu dihadapi Pos Malaysia berikutan meningkatnya keupayaan rakyat menggunakan internet untuk berinteraksi secara elektronik.

"Di United Kingdom (UK) sudah terjadi penurunan pengiriman surat secara biasa ke satu tahap yang mencurigakan.

"Di Malaysia pun kita menjangka kegemaran orang ramai menghantar surat secara biasa akan menurun apabila lebih ramai berkebolehan menggunakan internet," katanya selepas melawat pihak berkuasa pos UK, Royal Mail di sini, hari ini.

Sambil menganggap mel elektronik dan komunikasi lain melalui internet dan pelbagai kemudahan teknologi merupakan satu cabaran yang tidak boleh tidak mesti dihadapi, beliau berkata pengalaman yang dilalui oleh Royal Mail itu telah membuka mata Malaysia.

Rais yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke sini sebelum itu mengadakan perbincangan dengan pimpinan Royal Mail di ibu pejabatnya di sini dan diberikan taklimat oleh Ketua Perancangan Strategi Royal Mail, John Duncan.

Royal Mail mencatatkan penurunan pengendalian dan pengiriman surat melalui pos secara mendadak sebanyak 7.0 peratus setahun atau 3.5 bilion kiriman pada 2009 lepas berbanding tahun 2005 dan 2006, dan menjangkakan penurunan itu akan berterusan.

"Kita telah mendapat satu taklimat yang sangat berfaedah daripada Royal Mail. Dalam konteks ini, kita akan melihat Pos Malaysia dalam pelbagai aspek masa depan," katanya, yang menambah bahawa kementeriannya akan menyediakan satu laporan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata laporan itu akan merangkumi aspek bagaimana menjadikan perkhidmatan pos lebih efisien untuk masyarakat daripada segi kos yang meningkat dan penentuan penilaian kos yang sebenar.

"Kita juga akan melihat semula bagaimana, misalnya, kedudukan posmen kita. Kedua, bagaimana kita menghadapi cabaran internet yang menggunakan e-mel dan juga kemudahan lain yang menggantikan surat serta bagaimana menggalakkan semula budaya menulis surat secara biasa," katanya.

Rais berkata bagaimanapun berdasarkan pengalaman Royal Mail, khidmat penghantaran barangan melalui pos tetap menjadi satu perkara yang diperlukan pengguna.

"Kami akan buat laporan kepada Kabinet sebelum langkah-langkah sementara dan jangka panjang untuk memastikan Pos Malaysia menjadi pemain industri pos tanah air yang utama.

Menurutnya, selain itu usaha juga akan dibuat supaya setem, satu sumber pendapatan pos, dapat diperluas penggunaannya daripada segi budaya dan komersil.

"Kita perlu melihat di Malaysia cabang-cabang baru dalam perniagaan berkaitan dengan pos...yang menguntungkan secara industri dan sebagai satu sumber pekerjaan," katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengarah Kumpulan Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad Datuk Syed Faisal Albar dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Khalid Ramli. - BERNAMA

Artikel Lain