suria

15 Lelaki Myanmar Ditahan Disyaki Mengedar Dadah

SABAK BERNAM: Polis menahan 15 lelaki rakyat Myanmar dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik pekerjaan mereka sebagai nelayan, di Bagan Sungai Besar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Noor Mushar Mohamad berkata kesemua lelaki yang ditahan itu dipercayai menjalankan aktiviti mereka mengedar dadar di pelantar ikan dan menjadikan penduduk tempatan sebagai pelanggan utama.

Beliau berkata tangkapan yang dibuat dalam Ops Tapis Khas membabitkan 20 anggota termasuk polis sukarela menemui tiga paket besar dan 15 paket kecil dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

"Pemeriksaan terhadap semua suspek menemui kira-kira 57.5 gram dadah jenis heroin bersama wang tunai berjumlah RM800 dan mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Ketika serbuan pada pukul 7 pagi itu, kesemua lelaki terbabit sedang leka bermain judi dan cuba melarikan diri tetapi pasukan bot peronda polis mengepung kawasan perairan berhampiran dan berjaya menahan kesemua mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Mushar berkata sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari luar negara sebelum dibungkus dan dijual di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan air kencing juga mendapati 12 daripada mereka positif dadah," katanya.

Noor Mushar berkata siasatan ke atas kesemua suspek itu dibuat mengikut Seksyen 39(B) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain