suria

Tugas UiTM Perbetulkan Ketidakadilan Sejarah - PM

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Universiti Tekonologi Mara (UiTM) bertanggungjawab memperbetulkan ketidakadilan sejarah dengan melahirkan siswazah Melayu dan bumiputera berkualiti supaya seimbang dengan kedudukan kaum lain.

Perdana Menteri menegaskan, orang Melayu kini terbukti bukan bangsa tertindas dan mereka mampu bangkit jika diberi peluang.

"UiTM merupakan salah satu wahana yang membela ketidakadilan sejarah yang menimpa orang Melayu dan bumiputera setelah terpinggir dari arus pembangunan perdana lebih 400 tahun.

"Inilah amanah yang perlu dijunjung pada setiap masa bagi setiap peringkat di dalam kepimpinan UiTM dan inilah satu ikrar kerana UiTM bukan semata-mata untuk menghasilkan graduan tetapi untuk meletakkan orang Melayu dan bumiputera setaraf dengan kaum-kaum lain," katanya semasa berucap merasmikan Fasa Satu Kampus UiTM Puncak Alam di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib berkata, orang Melayu seharusnya tidak boleh mempercayai kepada apa yang penjajah dulu cuba lakukan dengan mempengaruhi jiwa kaum itu bangsa seolah-olah tidak berupaya dan lemah.

"Mereka anggap seolah-olah kita ini lemah, kita ini tidak pandai. Ini semua adalah jarum pihak penjajah yang cuba ditanam supaya kita jadi bangsa yang akan ikut telunjuk mereka."

"Sebaliknya telah terbukti bahawa orang Melayu dan bumiputera boleh berada bersama-sama dengan orang lain dan bangsa lain... cuma diharapkan peluang sahaja yang dibuka oleh institusi seperti UiTM," tegasnya.

Sementara itu, sebagai kampus UiTM yang baru, Najib berharap Kampus Puncak Alam yang indah dengan ciri-ciri yang moden akan dapat membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik tetapi memiliki sikap dan sistem nilai yang murni.

Selain itu, wujudnya pembangunan Fasa Satu itu akan menyuntik semangat UiTM untuk terus membangunkan kurikulum, kemampuan tenaga pengajarnya dan aktiviti ko-kurikulum bagi menghasilkan pelajar-pelajar yang berkualiti, dapat bersaing dan boleh dibanggakan untuk membawa obor perjuangan negara ke tahap lebih tinggi, tambah beliau.

"Inilah yang dimahukan pengasas institusi ini iaitu ayahanda saya, Tun Abdul Razak yang mahu melihat institusi ini berupaya mengangkat martabat dan maruah orang Melayu serta bumiputera," ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, fasa pembinaan kampus UiTM sebagai projek Bina, Sewa, Selenggara dan Serah (BLMT) dan perjanjian Fasa Dua akan dimeterai bulan depan.

UiTM Kampus Puncak Alam merupakan antara kampus terbaru universiti itu yang berkeluasan keseluruhan 439 hektar yang dimulakan operasi pentadbirannya secara rasmi pada 1 Jun 2009.

Syarikat TRIplc Berhad telah dilantik oleh Kementerian Kewangan pada 11 Mei 2001 sebagai kontraktor reka bentuk dan bina bagi Fasa Satu.

Fasa Satu pembangunan kampus berkenaan melibatkan kawasan seluas 138.32 hektar daripada 439 hektar yang diluluskan oleh kerajaan bagi menampung lebih daripada 20,000 pelajar.

Ia kini menampung 4,200 pelajar dan 520 kakitangan akademik dan pentadbir.

Dalam fasa pertama, ia akan menempatkan Fakulti Farmasi, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Fakulti Sains Kesihatan selain daripada kolej kediaman untuk 5,000 pelajar.

Fasa Kedua pula akan menempatkan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Perakaunan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, perpustakaan, pusat kesihatan, surau dan dewan serba guna.

Artikel Berikut

Artikel Lain