suria

Tindakan Zahrain Keluar PKR Tidak Mengejutkan

MELAKA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diikuti oleh anggota pembangkang lain.

"Saya harap lebih ramai lagi Ahli Parlimen PKR atau DAP mengikuti jejak langkah Zahrain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Tiga Divisyen di Kem Terendak di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan Zahrain itu sebagai satu tindakan kembali ke pangkal jalan kerana peranan Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang serta negeri-negeri lain sebagai hanya pandai beretorik politik.

Zahrain berkata keputusannya keluar dari PKR hari ini kerana kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta kesal dengan perjuangan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ahmad Zahid berharap menjelang Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 15 Mac depan akan lebih ramai ahli pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN).

"Kita di Barisan Nasional fokus untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding harga tinggi yang perlu dibayar oleh pengundi yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Katanya berdasarkan kenyataan media oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP, beliau menjangkakan empat lagi pemimpin pembangkang yang akan keluar parti menyertai langkah Zahrain.

Di KUCHING, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyifatkan Zahrain keluar dari PKR hari ini bukannya sesuatu yang mengejutkan.

Beliau berkata tindakan itu membuktikan Zahrain yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang tidak berpuas hati dan kecewa dengan kepemimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Guan Eng selain kesal dengan perjuangan PKR.

"Zahrain keluar kerana tidak puas hati dengan kepimpinan dalam PR yang kini sudah jadi "pakatan rapuh" dan PKR jadi "pakatan kian rapuh"," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata tindakan Zahrain tidak boleh dikaitkan dengan Umno mahupun Barisan Nasional kerana ia berlaku disebabkan beliau tidak puas hati dengan pemimpin dalam pakatan tersebut.

"Rakyat harus ambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat hari ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain