suria

Suntikan Vaksin H1N1 Kepada Golongan Berisiko Tinggi Bermula Minggu Ini

KUALA LUMPUR: Pemberian suntikan vaksin kepada mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan influenza A(H1N1) bermula minggu ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata orang ramai yang dikategorikan sebagai 'kumpulan sasar berkeutamaan' boleh mendapatkan suntikan itu di 104 fasiliti kesihatan kerajaan yang dikenal pasti di seluruh negara.

"Memandangkan bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian vaksin dilakukan mengikut pendekatan 'siapa cepat, dia dapat' dan penilaian klinikal yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat akan diambil kira bagi menentukan kesesuaian seseorang individu terhadap vaksin.

"Orang ramai yang layak mendapatkan pelalian ini dikehendaki membaca terlebih dahulu maklumat mengenai pelalian vaksin influenza A(H1N1) dan perlu memberi keizinan bertulis dengan mengisi dan mengembalikan borang keizinan bertulis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 391 pesakit baru dengan gejala serupa Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh 31 Jan hingga 6 Feb lepas.

Dr Mohd Ismail berkata dalam tempoh yang sama juga 356 kes telah discaj keluar.

"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga Sabtu lepas adalah sebanyak 380 kes di 48 buah hospital kerajaan termasuk empat hospital swasta.

"Daripada jumlah tersebut hanya 14 pesakit atau 3.7 peratus merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya.

Beliau berkata terdapat dua kes influenza A(H1N1) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan salah seorang daripadanya merupakan seorang kanak-kanak berumur kurang lima tahun.

Sehingga 6 Feb lepas, jumlah terkumpul kes positif Influenza A (H1N1) adalah 12,419 dan jumlah kematian terkumpul kekal 77 orang, katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh 31 Jan hingga 6 Feb itu juga lapan kejadian kluster ILI dilaporkan berlaku di sekolah dan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan lima daripada lapan kejadian kluster tersebut positif H1N1.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan pelajar sekolah, pelatih dan pihak berkuasa di kem PLKN seluruh negara agar terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1.

Beliau juga mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak memandang ringan atau mengabaikan langkah-langkah pencegahan influenza A(H1N1) yang telah diumumkan sebelum ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan influenza A(H1N1) serta langkah-langkah pencegahan dan fasiliti kerajaan yang terlibat dalam pemberian vaksin H1N1 boleh memperolehinya melalui laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my, hotline 03-88810200 dan 03-88810300. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain