suria

SMS Palsu Satu Cubaan Bunuh Karier Politik Saya - T Murugiah

T Murugiah ketika mengadakan sidang akhbar di Brickfields, petang ini.
T Murugiah ketika mengadakan sidang akhbar di Brickfields, petang ini.
T Murugiah ketika mengadakan sidang akhbar di Brickfields, petang ini.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah menyifatkan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memintanya meletakkan jawatan sebagai cubaan membunuh karier politiknya.

Beliau yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) berkata, SMS palsu itu diketahui disebarkan di kalangan anggota parti sejak seminggu lalu.

Murugiah percaya tindakan itu berhubung kait dengan perbicaraan mahkamah pada 1 Mac ini bagi menentukan kesahihan beliau sebagai Presiden parti.

"Mereka tahu kes mahkamah mungkin tidak menyebelahi mereka, jadi mereka menggunakan taktik kotor. Ketua-ketua bahagian ditawarkan duit suapan untuk keluar parti dan menyokong pihak yang satu lagi.

"Perdana Menteri tidak pernah meminta saya meletakkan jawatan kerana tahu prosiding mahkamah sedang berjalan.

"Mereka juga kata hari ini adalah tarikh terakhir bagi saya meletakkan jawatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perjawatan beliau dalam kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerima rayuan Tribunal Timbangtara Malaysia (MATE) untuk membincangkan semula kes pemecatannya yang difailkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Murugiah berkata, beliau telah menghubungi Najib bagi mendapatkan pengesahan tentang kebenaran dakwaan SMS tersebut.

Katanya, Perdana Menteri menafikan beliau pernah mengeluarkan arahan sedemikian agar beliau meletak jawatan.

"Apa pun, mereka sepatutnya tunggu mahkamah untuk membuat keputusan. Hari ini, empat anggota PPP termasuk Ketua Pemuda, G. Ellangovan bertindak keluar dari parti setelah mendengar dan mempercayai hasutan SMS itu," ujarnya.

Murugiah menjelaskan, beliau telah menegur empat pemimpin tersebut supaya memperbanyakkan aktiviti parti demi kesejahteraan masyarakat.

"Mungkin mereka tidak senang dengan teguran itu maka mereka bertindak keluar dari parti. Saya minta penyokong saya agar jangan keliru dan mudah terpedaya dengan info salah tersebut," katanya.

Murugiah berkata, beliau akan membuat laporan polis hari ini selepas mendapat nasihat peguam.

Katanya, ahli-ahlinya yang menerima SMS berkenaan akan turut membuat laporan polis.

Artikel Berikut

Artikel Lain