suria

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Di Pandaraman, Klang Sabtu Depan

KUALA LUMPUR: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2010, yang diadakan di Pandamaran, Klang, pada Sabtu depan, akan menjadi ruang bagi para pemimpin untuk beramah mesra dengan rakyat dalam suasana santai berbanding konsep formal sebelum ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Senator Heng Seai Kei berkata majlis yang bermula pada pukul 6.30 petang hingga 11 malam, itu memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai suasana sambutan perayaan kaum Tionghua di Kampung Baru Cina yang masih mengekalkan tradisi masyarakat itu.

Majlis itu, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga dihadiri Menteri KPKK Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan.

"Selain itu semua Menteri Kabinet, Anggota Parlimen, Senator, Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan serta pemimpin pembangkang dijemput untuk memeriahkan majlis itu," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Menteri KPKK Datuk Joseph Salang dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Wira Kamaruddin Siaraf.

Heng berkata sambutan Tahun Baru Cina kali ini akan mempromosi budaya Tionghua menerusi gerai-gerai aktiviti kaligrafi dan seni menggunting kertas selain menampilkan persembahan Kumpulan Kesenian Muhibah 1Malaysia, Kumpulan Kesenian Sokagakai (Selangor), Kumpulan Tradisi Kesenian India, Kumpulan Kesenian Angklung dan Topeng Remaja Cina (Jorinn Chee Ka-Yee), Kumpulan Kaki Kayu serta tarian Singa Akrobatik.

"Sesuai dengan ikon Tahun Baru Cina kali ini iaitu Harimau Emas, satu persembahan istimewa Tarian Harimau juga akan diadakan," katanya.

Majlis itu akan dimeriahkan dengan persembahan Ning Baizura, Nicholas Teo, Xiao Hei, Gary Chow dan Michael Wong.

Heng berkata kira-kira 20,000 orang khususnya dari sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan dijangka menghadiri majlis itu. Selain itu, acara cabutan bertuah juga akan diadakan dengan pengunjung berpeluang menerima komputer riba, telefon bimbit dan langganan perkhidmatan jalur lebar," katanya.

Heng berkata sempena majlis itu, Jalan Chan Ah Choo di Pandamaran akan ditutup selama 12 jam bagi memastikan kelancaran majlis itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain