suria

Rakyat India Ditahan Jual Arak Dan Mercun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat India yang masuk ke negara ini menggunakan permit tukang masak tetapi akhirnya ditahan polis kerana menjual arak dan mercun secara haram.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata suspek yang berumur dalam 20-an itu ditahan di sebuah kedai kosong di Jalan Pandan 3/2, Pandan Jaya pukul 11 malam tadi dan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak dua bulan lepas.

"Pihak kami telah menyerbu premis berkenaan hasil maklumat orang awam dan berjaya merampas 134 botol arak wiski pelbagai jenama, 68 karton arak tin serta empat jenis mercun yang dianggar bernilai RM30,000.

"Kami percaya kegiatan ini bergerak secara berkumpulan dan hasil soal-siasat suspek terbabit diharap membawa kepada penangkapan suspek yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Jalil berkata premis itu turut dilengkapi empat kamera litar tertutup yang diletak di dalam dan luar premis berkenaan serta sistem yang ketat semasa proses jual-beli dilakukan bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan turut menjumpai satu kaunter kecil di bahagian belakang premis yang dipercayai diguna sebagai tempat proses transaksi jual beli dan satu laluan rahsia yang menyerupai sebuah almari yang diguna suspek sebagai stor penyimpanan arak dan mercun itu," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Hakisan dan Letupan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain