suria

PKR Sifatkan Keputusan Zahrain Tindakan Pengecut

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim untuk keluar daripada parti itu sebagai tindakan seorang yang pengecut.

Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali berkata, tindakan Zahrain itu jelas menunjukkan beliau takut untuk menghadapi kesan daripada perbuatannya mengkritik keras kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.

"Dia takut untuk hadapi jawatankuasa disiplin," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Pada sidang media khas hari ini, Zahrain mengumumkan keluar daripada PKR dan mengishtiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Menurutnya tindakan itu dibuat ekoran kecewa dengan kepimpinan Lim di samping tidak lagi percaya dengan perjuangan pakatan pembangkang - PKR, DAP dan PAS.

Selain itu Syed Husin berkata, beliau menyambut baik tindakan Zahrain itu.

"Saya gembira Zahrain keluar parti itu tindakan yang yang cukup baik," katanya.

Dalam pada itu, Syed Husin turut mencabar pemimpin PKR lain yang digambarkan sebagai suka 'menjual diri' untuk mengikut jejak langkah Zahrain.

"Opportunis lain boleh jual diri dan sertai dia (Zahrain)," katanya.

Menurutnya PKR tidak memerlukan pemimpin seperti itu dan dengan tindakan keluar daripada parti akan menjadikan parti itu lebih kuat.

Sebelum ini, PKR mengambil keputusan untuk merujuk Zahrain kepada jawatankuasa disiplin parti kerana secara terbuka mengkritik kepimpinan Lim yang dilabelnya sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis.

Malah seorang lagi pemimpin PKR Pulau Pinang iaitu Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga tampil mengkritik kepimpinan Lim yang disifatkannya sebagai berat sebelah.

Artikel Berikut

Artikel Lain