suria

Mahkamah Perintah Suri Rumah Bayar RM160,000 Guna Air Secara Haram

KUALA LUMPUR: Seorang surirumah diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membayar lebih RM160,000 kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana menggunakan bekalan air selama 453 hari tanpa kebenaran apabila membuka pili bomba dan menggantikannya dengan batang paip untuk membuat sambungan haram.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mary Lim Thiam Suan dalam penghakimannya hari ini memutuskan defendan, Liew Lai Yin, 36, didapati bersalah menggunakan bekalan air Syabas yang telah dirawat tanpa kebenaran dan mengarahkannya membayar RM163,862.78 bagi ganti rugi menggunakan air secara haram, kehilangan pili bomba serta kos RM5,000.

"Pili bomba telah dialihkan, menggantikan ia dengan paip bersaiz empat inci yang disambungkan ke premis defendan (Liew) untuk tujuan membekalkan air tersebut tanpa kebenaran plaintif (Syabas), adalah bukti jelas defendan melakukan kesalahan," katanya.

Syabas memfailkan saman terhadap Liew pada 2006 apabila syarikat itu mengetahui wanita itu telah menyambungkan paip air secara tidak sah ke premisnya di Kampung Baru, Salak Selatan, di sini selepas Syabas menamatkan bekalan air pada 21 April, 2004.

Siasatan yang dijalankan Syabas pada 28 Julai, 2005 mendapati sebuah pili bomba telah dialihkan dan sebatang paip berukuran empat inci telah digunakan untuk menyambungkan bekalan air ke premis defendan.

Liew, dalam pembelaannya berkata beliau tidak menetap di premis itu sewaktu insiden tersebut dan tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap hartanya.

"Defendan gagal untuk membuktikan seseorang mungkin telah melakukan kesalahan tersebut bagi membuktikan beliau tidak bersalah," kata Hakim Lim.

Syabas diwakili peguam Habizan Rahman manakala Peter Siew mewakili Liew. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain